Newsroom

CelcomDigi raikan wira warisan Deepavali

October 17, 2025

PETALING JAYA, 17 Oktober 2025 – Sempena Deepavali tahun ini, CelcomDigi menjemput seluruh rakyat Malaysia untuk melihat lebih jauh daripada cahaya gemerlapan dan warna-warna ceria perayaan, sebaliknya menghargai para wira tidak didendang yang telah mengabdikan kehidupan serta kemahiran demi menghidupkan perayaan ini, memenuhi rumah- rumah di seluruh negara dengan kehangatan, kegembiraan dan kebanggaan terhadap warisan tradisi.

Melalui filem yang menyentuh hati, Nam Thadam – Wira Warisan (Heroes of Heritage), CelcomDigi mengetengahkan individu-individu luar biasa – artisan, tukang kraf dan mereka-mereka yang memelihara tradisi perayaan Deepavali. Daripada pengisar rempah dan pembuat manisan kepada penenun kalungan bunga, tukang pelita minyak dan pembuat barang kemas, hasil seni ini bukan sekadar kemahiran tetapi satu tradisi warisan turun temurun yang memelihara erti sebenar perayaan untuk diraikan generasi akan datang.

CelcomDigi berharap dapat menginspirasi rakyat Malaysia untuk lebih menghargai dan mengenali insan-insan yang berdedikasi dalam menghidupkan perayaan Deepavali melalui seni tangan mereka yang bermakna, berserta legasi kasih sayang dan usaha gigih yang telah sebati dalam warisan budaya kita.

“Filem ini mencerminkan kepercayaan kami bahawa hubungan sejati bukan hanya dipacu oleh teknologi, tetapi oleh insan-insan yang menjadi wira sebenar budaya kita. Sudah menjadi teras jenama CelcomDigi untuk terus mengetengahkan rakyat Malaysia yang menginspirasikan. Mereka ini  mampu menzahirkan pengaruh yang memperkasakan komuniti setempat dan memberi makna sebenar kepada sesebuah hubungan – semuanya dengan sokongan rangkaian paling luas, terpantas dan paling selamat di Malaysia,” kata Chan May Ling, Ketua Perkhidmatan Jenama dan Pemasaran CelcomDigi.

Memperkasa Pencipta Masa Depan Menerusi Seni dan Inovasi

CelcomDigi telah memperkenalkan satu kolaborasi unik, Designed by Tomorrow’s Creators, yang merupakan sebahagian daripada acara perayaan dan komitmen berterusan untuk memupuk kreativiti dan inovasi dalam kalangan generasi muda Malaysia. Menerusi inisiatif ini, bakat muda Malaysia dijemput untuk menzahirkan idea kreatif mereka melalui rekaan paket perayaan Deepavali eksklusif.  

Setiap daripada tiga rekaan yang terpilih mencerminkan interpretasi unik dan moden tentang Deepavali, seperti yang dilihat daripada sudut pandangan bakat muda Malaysia. Melalui karya seni yang penuh warna dan penceritaan yang bermakna, paket-paket ini menggambarkan semangat perayaan — daripada kasih sayang dan cahaya, kepada perpaduan dan tradisi.

Untuk berkongsi keceriaan perayaan kali ini, pelanggan akan menerima paket eksklusif Deepavali ini dengan setiap pembelian peranti melalui CelcomDigi Online Store, selagi stok masih ada.  

CelcomDigi mengucapkan Selamat Menyambut Deepavali kepada semua warga Malaysia. Semoga perayaan ini dipenuhi dengan kasih sayang dan hubungan yang bermakna.  

Tonton video penuh menerusi saluran YouTube rasmi CelcomDigi di sini.