

PETALING JAYA, 25 October 2025 – CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) hari ini melancarkan Klinik Bolasepak Kanak-kanak CelcomDigi (CelcomDigi Kids Football Clinic) - satu inisiatif untuk memupuk kemahiran bolasepak dalam kalangan kanak-kanak. Inisiatif ini dilaksanakan menerusi platform Arena CelcomDigi sebagai usaha memperkukuh komitmen dalam mempromosi gaya hidup aktif dalam kalangan rakyat Malaysia. Klinik bolasepak ini merupakan antara misi utama Arena CelcomDigi untuk membina ekosistem sukan yang berdaya mampan serta memperluas akses kepada sukan bagi golongan muda, Ia juga menawarkan ruang yang inklusif dan selamat kepada kanak-kanak untuk belajar, bermain dan membesar melalui program latihan yang berstruktur.
Pelancaran ini telah dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan YB Hannah Yeoh, bersama Datuk Kamal Khalid, Ketua Pegawai Transformasi CelcomDigi, Cheng Weng Hong, Ketua Pegawai Jualan dan Peruncitan CelcomDigi serta Naquib bin Hamdan, Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), bertempat di Taman Rimba Kiara, Kuala Lumpur.
Dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), DBKL dan YFA Red Star Academy selaku rakan program, Klinik Bolasepak Kanak-kanak CelcomDigi direka khas untuk kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah. Program ini menawarkan pembelajaran sukan yang berstruktur dalam persekitaran yang inklusif dan selamat. Selain memberi tumpuan kepada kemahiran bolasepak, program ini turut menekankan pembangunan sahsiah, disiplin, dan semangat berpasukan di bawah bimbingan jurulatih bolasepak bertauliah menerusi modul latihan yang progresif.
“Pelancaran hari ini merupakan contoh bagaimana kerjasama awam-swasta mampu mencipta impak yang bermakna di peringkat akar umbi. Kolaborasi antara KBS, DBKL dan CelcomDigi mencerminkan bagaimana entiti yang berbeza boleh bergabung tenaga untuk memperkasa remaja serta memacu pembangunan komuniti. Program seperti Klinik Bolasepak Kanak-kanak CelcomDigi ini diperlukan bagi mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan generasi muda, di samping memupuk bakat sukan yang merupakan asset masa depan negara. Kami menggalakkan lebih banyak organisasi swasta untuk berkerjasama dengan Kementerian dan agensi Kerajaan dalam menganjurkan inisiatif seperti ini di taman-taman seluruh negara agar dapat diakses oleh semua warga Malaysia. Saya percaya negara kita tidak ketandusan bakat baru. Apa yang kita perlukan adalah lebih banyak platform seperti ini untuk meneroka dan memupuk bakat dari peringkat awal,” jelas YB Hannah ketika majlis perasmian tersebut.
“Acara Klinik Bolasepak Kanak-kanak CelcomDigi ini melangkaui program bolasepak kanak-kanak. Ia sesuatu pergerakan yang dipacu oleh komuniti dan dijana oleh Arena CelcomDigi bagi membawa acara sukan kegemaran Malaysia kepada masyarakat dan memberi akses kepada setiap kanak-kanak. Matlamat kami adalah untuk membina satu platform yang mampu memupuk bakat muda dan mengukuhkan hubungan komuniti menerusi sukan, bermula di Taman Rimba Kiara dan mengembang sayap ke lebih banyak taman awam di sekitar Lembah Klang dan ke negeri-negeri lain, dengan sokongan agensi kerajaan dan kerjasama pihak lain,” kata Datuk Kamal.
Taman Rimba Kiara dipilih sebagai lokasi perintis kerana semangat komuniti yang padu serta kejiranan yang majmuk. Ini menjadikan lokasi ini sesuai untuk penganjuran acara yang bersifat inklusif. Klinik bolasepak yang diadakan setiap hari Sabtu ini mengalu-alukan penglibatan semua kanak-kanak yang menunjukkan minat dan komitmen, tanpa perlu ujian saringan atau sesi pemilihan. Sejak dimulakan, klinik ini telah berkembang dengan penyertaan sehingga 70 orang kanak-kanak setiap minggu. Sesi latihan dikendalikan oleh enam orang jurulatih, dan setiap sesi memberi penekanan kepada latihan mengikut kesesuaian umur, semangat berpasukan, nilai kesukanan, serta nilai-nilai hidup yang penting.
Arena CelcomDigi merupakan sayap kepada syarikat CelcomDigi yang menganjurkan pelbagai acara sukan bagi meningkatkan gaya hidup sihat serta memupuk bakat muda menerusi satu platform inklusif yang menghubungkan sukan tradisional dan digital — daripada esukan dan pickleball kepada sepak takraw, boling padang dan banyak lagi. Arena CelcomDigi memperkasa rakyat Malaysia untuk meneroka minat kesukanan masing-masing dengan menyediakan peluang latihan, pembabitan komuniti dan keterhubungan digital, agar bersama-sama membesar dalam semangat kesukanan.
© Copyright 2025 CelcomDigi Berhad [Registration No. 199701009694 (425190-X)]. All Rights Reserved.