Newsroom

Online Safety IRL membentuk generasi baharu pemangkin perubahan untuk menangani scam berasaskan AI

October 23, 2025

Seramai 35 pencipta kandungan dan pemimpin belia yang berpotensi menjangkau serta memberi impak kepada lebih lima juta pengguna dalam talian akan dilatih untuk memperkasakan kesedaran tentang penipuan dan keselamatan digital.

PETALING JAYA, 23 Oktober 2025 – Seramai 35 pemangkin perubahan muda dan pencipta kandungan telah dipilih untuk memimpin advokasi keselamatan dalam talian melalui program Online Safety IRL: Scam Edition. Sebagai suara yang dipercayai dalam komuniti masing-masing, secara kolektif para peserta ini berpotensi untuk menjangkau dan menghubungi lebih lima juta pengguna dalam talian bagi meningkatkan kesedaran tentang penipuan (scam) dan membentuk tingkah laku digital yang lebih selamat.

Program ini dipacu secara bersama oleh Kementerian Komunikasi, CelcomDigi Berhad, Meta Platforms, Inc. dan Ratio:Cause, dengan sokongan rakan media Tonton, bagi membina sebuah rangkaian penggerak advokasi keselamatan digital yang kukuh serta memaksimumkan impak melalui penglibatan pelbagai pihak dalam komuniti.

Susulan kejayaan edisi pertamanya yang telah memberi impak positif kepada lebih 2.8 juta rakyat Malaysia melalui kandungan kesedaran keselamatan digital, edisi kedua kembali dengan fokus untuk menangani ancaman penipuan kewangan yang semakin meningkat, khususnya scam yang menggunakan teknologi AI untuk memanipulasi masyarakat. Peserta program ini akan menjalani fellowship yang imersif, menyeluruh dan merangkumi masterclass bersama pakar, bimbingan mentor serta aktiviti bersama komuniti, bagi memperkukuh kemahiran mengenal pasti penipuan serta memahami peranan AI dalam aspek keselamatan dan risiko penipuan.

Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil berkata, "Penipuan memberi kesan kepada semua, dan melindungi rakyat Malaysia memerlukan kerjasama daripada semua pihak. Program ini menunjukkan apa yang boleh dicapai apabila kerajaan, industri dan komuniti berganding bahu untuk meningkatkan kesedaran dan memperkukuh keselamatan dalam talian untuk semua."

Ketua Kelestarian CelcomDigi, Philip Ling berkata, “Pencipta kandungan dan pemimpin belia adalah pemangkin perubahan yang berpotensi menjangkau dan mempengaruhi komuniti di dalam dan luar talian. Kami telah melihat impak advokasi yang dipimpin golongan sebaya dalam membentuk cara rakyat Malaysia melayari dunia digital. Melalui Online Safety IRL, kami membantu membina rangkaian penggerak advokasi yang dinamik yang mencetuskan perbualan, mengubah tingkah laku serta menjadikan internet lebih selamat untuk semua. CelcomDigi kekal komited untuk mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat dan terjamin untuk semua. Kami akan terus membangunkan kerjasama strategik bagi membina masyarakat digital yang dipercayai.”

Ketua Dasar Awam Meta untuk Malaysia dan Brunei, Daniel Lim berkata, “Melindungi pengguna dalam talian adalah usaha bersama, dan kami berusaha untuk melengkapkan generasi akan datang dengan kemahiran dan kesedaran yang diperlukan untuk melayari ruang digital dengan yakin. Melalui program Online Safety IRL, kami berbangga dapat menyokong pemimpin muda dan pencipta kandungan dalam memperjuangkan kesedaran tentang penipuan serta menggalakkan tingkah laku dalam talian yang lebih selamat dalam komuniti mereka. Bersama rakan kongsi, kami sedang membina masa depan digital yang lebih selamat dan berinformasi untuk semua rakyat Malaysia.”

Pengarah Eksekutif Ratio:Cause, New Su Shern berkata, “Kejayaan edisi pertama membuktikan betapa kuatnya impak kolaborasi apabila pelbagai pihak berkepentingan berganding bahu dengan matlamat yang jelas. Program ini bukan sekadar membina kesedaran, tetapi juga untuk mengubah cara rakyat Malaysia berfikir, bertindak dan saling menjaga antara satu sama lain dalam talian. Tahun ini, kami memperluaskan impak tersebut dengan lebih jauh, menjangkau lebih ramai rakyat di seluruh negara melalui kumpulan pencipta kandungan dan peserta belia yang lebih pelbagai. Bersama Kementerian Komunikasi, Meta, CelcomDigi dan Tonton, kami membina daya bingkas terhadap penipuan bukan sekadar kempen, tetapi sebagai satu gerakan yang dipacu oleh suara komuniti kita sendiri.”

Program ini merangkumi dua strim fellowship yang berasingan, masing-masing direka khas untuk pencipta kandungan dan golongan belia di seluruh Malaysia:

Pencipta kandungan akan menjalani program fellowship selama 3 bulan yang merangkumi:

  • Geran sebanyak RM8,000 bagi penghasilan kandungan berkaitan kesedaran scam  
  • Masterclass bersama pakar dalam topik seperti psikologi penipuan, penipuan yang dijana oleh AI, dan penciptaan kandungan beretika
  • Peluang eksklusif untuk membina hubungan bersama rakan korporat, agensi kerajaan, dan pencipta kandungan yang sehaluan

Golongan belia akan menjalani program fellowship selama 6 bulan yang merangkumi:

  • Masterclass bersama pakar yang memberi tumpuan kepada aktiviti komuniti dan advokasi, serta topik seperti psikologi penipuan, penipuan yang dijana oleh AI dan lain-lain
  • Bimbingan daripada rakan program dan pakar industri
  • Peluang praktikal untuk mereka bentuk projek komuniti berkaitan kesedaran tentang penipuan

Menampilkan ‘Is This Legit?’, permainan kesedaran tentang penipuan oleh Meta.

Bersempena pelancaran Online Safety IRL: Scam Edition, Meta turut memperkenalkan permainan kesedaran tentang penipuan terbaru yang dinamakan ‘Is This Legit?’, kini tersedia dalam Bahasa Malaysia untuk audiens tempatan. Permainan interaktif ini direka untuk menyediakan komuniti dalam talian dengan kemahiran mengenal pasti dan mengelakkan penipuan biasa.

Meta menggunakan pendekatan seni dan kreativiti  untuk membantu pemain membina pengetahuan dan kemahiran yang berkekalan untuk mengenal pasti  penipuan, sekaligus mendorong perubahan tingkah laku yang berpanjangan. Akses ‘Is This Legit?’ di desktop atau peranti mudah alih sekarang di my.isthislegit.eyeyah.com.

Untuk maklumat lanjut mengenai program dan hasil daripada para peserta Online Safety IRL, layari www.onlinesafetyirl.com dan ikuti @onlinesafetyirl di Instagram, Facebook dan TikTok.