Newsroom

Perdana Menteri luncur program CD:NXT CelcomDigi bagi memacu pembangunan bakat generasi muda ke arah merangsang ekonomi digital Malaysia

August 26, 2025

Aspirasi ini menjurus kepada memupuk pertumbuhan bakat sumber manusia seramai 5,000 orang yang bersedia mengemudi industri berteraskan AI

PETALING JAYA, 26 Ogos 2025 – Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, hari ini merasmikan majlis peluncuran CD:NXT, satu inisiatif utama CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) bertujuan membangunkan barisan pemimpin digital generasi akan datang. Program strategik ini merupakan satu langkah maju yang berani dalam usaha Malaysia ke arah menjadi ekonomi digital yang dijana 5G-AI. CelcomDigi komited untuk melengkapkan 5,000 tenaga muda Malaysia dengan pengetahuan, pengalaman praktikal, serta kemahiran masa hadapan dalam bidang AI, teknologi, data dan analitik.

CD:NXT adalah inisiatif strategik jangka panjang oleh CelcomDigi untuk melahirkan generasi profesional baharu yang mahir dalam AI dan bersedia menerajui transformasi digital negara. Program yang dibina dengan kerjasama strategik rakan teknologi dan universiti ini menawarkan kurikulum yang menyeluruh seiring dengan keperluan industri serta peranan pekerjaan yang memberi tumpuan kepada kemahiran digital kritikal, bertujuan meningkatkan kebolehpasaran individu dan memupuk generasi yang komited terhadap kelestarian dan pertumbuhan inklusif.

Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi berkata, “Kami percaya kekuatan sesebuah negara digital bergantung kepada potensi rakyatnya. CD:NXT mencerminkan komitmen jangka panjang kami untuk membentuk generasi rakyat Malaysia yang dilengkapi kemahiran, pemikiran dan keyakinan untuk mengemudi industri yang kini dibentuk oleh 5G dan AI, serta teknologi dan inovasi generasi akan datang. Inisiatif pemupukan bakat ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk melonjakkan cita-cita digital Malaysia dengan melahirkan pemikir, pembina, dan pemimpin yang akan memacu masa depan digital dan ekonomi negara. Kami amat teruja kerana anak-anak muda ini bukan sahaja akan menyertai tenaga kerja kami, bahkan bakal memacu industri ke hadapan. Usaha yang digembleng ini bertujuan untuk membina golongan profesional yang siap siaga untuk industri, AI native, yang melihat inisiatif ini sebagai sebahagian daripada perjalanan pembangunan diri mereka sendiri.”

Di majlis peluncuran ini, CelcomDigi menyambut  20 bakat muda kohort pertama yang menyerlah ke Program CD:NXT Young Talent — satu kumpulan yang dipilih secara telus daripada 3,600 calon yang kompetitif melalui saringan kognitif, serta dinilai oleh beberapa lapisan kepimpinan CelcomDigi. Kesemua individu ini mewakili bakat muda paling cemerlang negara, dipilih berdasarkan potensi tinggi dan kepakaran luar biasa mereka dalam bidang digital kritikal.

CD:NXT akan membina barisan bakat AI yang bersedia untuk masa hadapan melalui tiga program utama:

  • Young Talent Programme (YTP) – Rancangan terapan dua tahun untuk graduan berpotensi tinggi yang memberi penekanan pada lapan bidang kemahiran kritikal termasuk AI, keselamatan siber, kejuruteraan awan, dan kelestarian.  
  • CelcomDigi UniConnects – Kerjasama strategik universiti-industri yang menyelaraskan kurikulum akademik dengan permintaan sebenar dunia digital, meningkatkan kebolehpasaran graduan dan kesiapsiagaan industri.
  • Program Duta Pelajar (Student Ambassador Programme) – Platform kepimpinan dan inovasi yang memperkasa pelajar menjadi agen perubahan dalam keterangkuman digital dan kelestarian.

Memacu inovasi dan peralihan kepada penyelesaian 5G-AI dengan CelcomDigi AiX

Perdana Menteri turut mengambil kesempatan untuk melawat CelcomDigi AI Experience Centre (AiX) — hab inovasi imersif CelcomDigi yang dibangunkan bersama  lebih 55 rakan kerjasama global dan tempatan. AiX mempamerkan 61 kes penggunaan yang sedia untuk digunakan merentasi lapan (8) industri utama seperti pembuatan, logistik dan bandar pintar, dengan 25 projek perintis sedang dalam pelaksanaan.

AiX menyokong perusahaan Malaysia beralih kepada penyelesaian digital dan AI dengan menyediakan teknologi terbukti dan panduan pakar untuk mempertingkatkan produktiviti dan memperluaskan inovasi di dalam dan luar negara. Inisiatif ini menunjukkan kemampuan Malaysia untuk menghasilkan inovasi berskala dan boleh dieksport, serta menggalakkan  kerjasama rentas sempadan, sekaligus mengukuh kedudukan negara dalam ekonomi digital global.

Menerusi CD:NXT, CelcomDigi melabur dalam bakat muda sebagai pemacu utama masa hadapan digital Malaysia. Dengan memperkasakan anak-anak muda dengan kemahiran dan pemikiran untuk cemerlang dalam dunia 5G-AI, CelcomDigi membantu membina negara digital yang maju, berdaya saing di  peringkat global dan membangun secara inklusif.